Hukum Musafir Dan Solat Qasar

Hukum Musafir dan Solat Qasar

Asslamualaikum… 

Segala pujian bagi Allah SWT yang menciptakan langit dan bumi. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, Rasul ikutan sepanjang zaman.

Tugasan sebagai seorang nuqaba’ atau naqibat akan menuntut untuk seseorang itu bermusafir. Hal ini kerana tanggungjawab membawa halaqah dan usrah bukan sahaja di tempat masing-masing bahkan banyak tempat lain yang memerlukan pengisian demi untuk melihat perjuangan Islam itu terus subur.

Tanggungjawab ini juga bukan hanya terpundak pada naqib dan naqibat sahaja, bahkan ianya juga merupakan tanggungjawab penceramah dan pengisi-pengisi slot bagi program yang dirancang.

Oleh itu bagi mereka yang ingin melaksanakan tugasan ini, pasti akan melakukan solat jamak dan qasar di dalam perjalanan. Sabda Nabi Muhammad SAW berkenaan kesulitan yang akan dihadapi bagi mereka yang musafir :-

Bermaksud : Bermusafir itu merupakan sebahagian daripada azab (kesulitan) Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim

Azab yang dimaksudkan di atas ialah kesulitan dan kesusahan yang dihadapi oleh mereka yang keluar musafir. Sama ada kesulitan itu berbentuk hakiki seperti perjalanan yang jauh ataupun ianya berbentuk maknawi seperti berjauhan dengan orang yang dikenali.

Saya mengambil kesempatan pada kali ini untuk berkongsi dengan kawan-kawan tentang perbahasan ringkas musafir dan solat qasar. Hanya tinggal beberapa jam sahaja lagi saya akan bermusafir terbang meninggalkan bumi Malaysia.

Sedih rasanya berpisah dengan keluarga yang telah mendidik diri ini. Sedih juga rasanya terpaksa meninggalkan kenangan bersama rakan-rakan usrah dan kawan-kawan yang telah mula menyumbang bakti pada masyarakat. Semoga kalian terus istiqamah dalam melaksanakan tugas dakwah pada masyarakat.

Doakan supaya saya juga thabat dalam memperjuangkan gerakan Islam dan akan kembali ke tanah air ini untuk berkongsi permata dan mutiara yang saya perolehi dari bumi para ulamak dan auliyak. InsyaAllah.

******

KERINGANAN (RUKHSAH) BAGI MEREKA YANG BERMUSAFIR

Terdapat beberapa keringanan (rukhsah) yang telah disyariatkan oleh Islam bagi mereka yang bermusafir. Begitu indahnya Islam kerana memahami keadaan dan situasi penganutnya. Antara keringanan yang boleh dilakukan ketika bermusafir ialah

1. Solat Qasar iaitu memendekkan solat fardu 4 rokaat menjadi 2 rokaat.

2. Solat Jamak iaitu menggabungkan antara 2 solat fardhu dan mendirikannya dalam satu waktu sahaja. Sebagai contoh solat fardu Zohor digabungkan dengan solat fardu Asar dan dilaksanakan dalam waktu Zohor sahaja.

3. Harus membuka puasa di bulan Ramadhan.
(Dalam perkara ini harus diingatkan bahawa syarat untuk berbuka puasa bagi mereka yang bermusafir ialah musafir itu mestilah sebelum terbit fajar. Sekiranya selepas terbit fajar, maka hukumnya wajib berpuasa di bulan Ramadhan.)

4. Harus menyapu di atas khuf (stokin kulit) ketika berwuduk selama 3 hari dan 3 malam berturut-turut.

5. Harus solat sunat di atas kenderaan. Kiblat bagi jenis solat ini ialah arah yang dituju.

6. Sekiranya bertayammum (kerana tidak ada air) di tengah-tengah perjalanan untuk solat, maka solat tersebut tidak wajib diulang (qada) kembali.

7. Harus meninggalkan solat Jumaat.
(Harus diingatkan bahawa, untuk meninggalkan solat Jumaat seseorang itu mestilah keluar bermusafir sebelum terbit fajar. Sekiranya keluar selepas terbit fajar, maka hukum solat Jumaat adalah wajib)

8. Bagi mereka yang berpoligmi, tidak perlu menggantikan (qada) tidur malam bersama-sama dengan isteri-isteri yang ditinggalkan sepanjang tempoh bermusafir.

******

HUKUM-HUKUM BERMUSAFIR

Hukum musafir bukan hanya harus semata-mata sepertimana yang diketahui oleh kebanyakan masyarakat umum. Bahkan ianya tertakluk pada tujuan dan niat seseorang itu bermusafir.

Maka hukum bermusafir itu terbahagi kepada 5 :

PERTAMA : WAJIB
Hukum bermusafir menjadi wajib apabila seseorang itu wajib melangsaikan amanah dan tanggungjawab ke atas dirinya. Sebagai contoh musafir menjadi wajib apabila seseorang itu ingin melangsaikan kefardhuan haji dan umrah ke atas dirinya apabila sudah cukup syarat.

(Ataupun bagi mereka yang ingin menuntut ilmu yang wajib dipelajari. Sebagai contoh musafir untuk mempelajari ilmu muamalat islam itu menjadi wajib bagi mereka yang ingin menceburkan diri dalam bidang perdagangan dan perniagaan.)

(kapal terbang yang akan saya naik malam ini)

KEDUA : SUNAT
Hukum bermusafir menjadi sunat apabila seseorang itu ingin melakukan perkara-perkara sunat seperti menziarahi Rasulullah SAW di Madinah. Ataupun ingin menyambung hubungan silaturrahim antara ahli-ahli usrah dan halaqah.

KETIGA : HARUS
Mereka yang bermusafir untuk melakukan perkara yang harus seperti berniaga dan lain-lain.

KEEMPAT : MAKRUH
Mereka yang bermusafir untuk melakukan perkara yang sia-sia seperti bermain muzik, menghabiskan masa kosong tanpa tujuan dan lain-lain.

KELIMA : HARAM
Bermusafir untuk melakukan perkara yang haram seperti berzina, minum arak, berjudi dan sebagainya. Antara lain ialah seseorang isteri yang keluar bermusafir tanpa minta izin daripada suaminya walaupun dengan niat yang baik seperti keluar berdakwah.

(Oleh itu pesanan saya kepada naqibat yang membawa halaqah dan usrah, sekiranya kalian adalah seorang isteri maka mintalah izin terlebih dahulu daripada suami untuk keluar rumah. Ini merupakan adab-adab yang diajar oleh agama Islam untuk umatnya).

******

JARAK PERJALANAN MUSAFIR

Terdapat perbezaan pendapat di kalangan fuqaha berkenaan jarak perjalanan orang yang musafir. Mengikut pendapat 3 mazhab iaitu Imam Maliki, Imam Syafie dan Imam Hambali, jarak perjalanan yang mengharuskan seseorang itu melakkan solat qasar ialah melebihi 2 marhalah ataupun kiraan di zaman sekarang sebanyak 82 kilometer.

Mengikut pendapat Imam Hanafi Rahimahullah, jarak perjalanan musafir mestilah melebihi 3 marhalah iaitu 123 kilometer.

Oleh itu, hukum melakukan solat qasar adalah harus bagi jarak perjalanan 82 kilometer hinggalah 123 kilometer. Ini merupakan pendapat Imam Syafie Rahimahullah.

Sekiranya perjalanan melebihi 123 kilometer maka hukumnya bertukar menjadi sunat. Hal ini kerana ulamak sepakat mengatakan bahawa Nabi Muhammad SAW melakukan solat qasar bagi perjalanan yang melebihi 3 marhalah.

Perbezaan pendapat ini adalah disebabkan oleh berbezanya dalil dan nas-nas yang digunakan oleh imam-imam tersebut serta cara mengistinbat hukum mengikut kaedah usul fiqh masing-masing.

******

SYARAT-SYARAT MELAKUKAN SOLAT QASAR

PERTAMA
Solat yang hendak diqasar adalah solat fardhu yang mempunyai 4 rokaat iaitu solat Zohor, Asar dan Isyak.

(Ijmak ulamak mengatakan bahawa solat Subuh dan Maghrib tidak sah sekiranya diqasarkan. Begitu juga tidak sah sekiranya diqasarkan solat orang yang bernazar melakukannya sebanyak 4 rokaat. Hukumnya juga sama bagi solat sunat yang diniatkan untuk melakukan sebanyak 4 rokaat. Sebagai contoh seseorang yang berniat untuk melakukan solat rawatib sebelum zohor sebanyak 4 rokaat dengan satu salam.)

KEDUA
Mengetahui tempat yang dituju.

(Tempat destinasi mestilah diketahui oleh orang yang bermusafir. Tidak sah solat qasar bagi mereka yang bermusafir tanpa arah tujuan. Sebagai contoh seorang isteri yang mengikut suaminya tanpa diberitahu destinasi perjalanan. Maka solat qasar perempuan tersebut adalah tidak sah.)

KETIGA
Perjalanan musafir yang diharuskan syarak iaitu musafir yang tidak mendatangkan dosa seperti musafir yang haram.

(Musafir yang makruh juga diharuskan untuk seseorang itu melakukan solat qasar kerana ianya tidak mendatangkan dosa. Adapun musafir yang haram itu terbahagi kepada tiga kategori. Saya mengharapkan supaya pembaca mampu membezakan kategori-kategori tersebut

1. Musafir untuk melakukan maksiat. Sebagai contoh seseorang yang bermusafir ke Mesir untuk melihat tarian gelek mak arab. Maka hukumnya adalah haram dan tidak sah melakukan solat qasar.

2. Melakukan maksiat ketika permusafiran. Sebagai contoh seseorang yang hendak ke Mesir untuk menziarahi sahabat kemudian tidak solat di tengah-tengah perjalanan tersebut. Bagi mereka ini hukum untuk melakukan solat qasar adalah harus.

3. Berniat untuk melakukan maksiat di tengah-tengah perjalanan musafir yang harus. Sebagai contoh seseorang yang ingin pergi ke Mesir untuk menziarahi kawan-kawan berubah niat kepada menonton tarian gelek mak arab. Bagi masalah sedemikian, hukum solat qasar adalah tidak sah selagimana seseorang itu tidak bertaubat.)

(solat tiang agama)

KEEMPAT
Bermusafir dengan niat dan tujuan yang baik seperti berniaga, mengerjakan umrah dan menziarahi kawan-kawan.

KELIMA
Jarak musafir tersebut adalah melebihi 2 marhalah ataupun kiraan di zaman sekarang adalah sebanyak 82 kilometer.

(Perkara ini telahpun saya bahaskan di atas)

KEENAM
Perjalanan yang sudah melewati batasan sesebuah kampung.

(Seseorang itu harus melakukan solat qasar setelah perjalanannya melampaui batasan sesebuah kawasan atau kampung walaupun masih belum sampai ke destinasi perjalanan. Sebagai contoh Seseorang yang tinggal di Sungai Petani harus melakukan solat qasar setelah keluar daripada daerah tersebut.)

KETUJUH
Mempelajari serta tahu cara-cara melakukan solat qasar.

(Bagi mereka yang tidak mempelajari atau tidak mengetahui cara-cara dan syarat bagi solat qasar, tidak dibenar melakukannya. Hal ini kerana ibadah yang dilakukan tanpa ilmu itu tidak harus hukumnya. Perbuatan tersebut boleh menjadikan seseorang itu sesat)

KELAPAN
Berterusan musafir itu sehinggalah tamat solat qasar.

(Sekiranya seseorang itu sudah bermukim ketika melakukan solat qasar, maka wajib untuk menyempurnakan solat tersebut. Kerana orang yang bermukim didak dibenarkan solat qasar.

Sebagai contoh seseorang yang melakukan solat qasar di dalam keretapi yang sudah sampai ke destinasi ketika berada dalam rokaat yang pertama. Maka wajib baginya menyempurnakan solat tersebut menjadi 4 rokaat.)
KESEMBILAN
Berniat qasar ketika mengangkat takbir dalam solat.

(Mereka yang terlupa niat qasar perlu menyempurnakan solat sebanyak 4 rokaat dan tidak sah melakukan solat qasar 2 rokaat)

KESEPULUH
Tidak menafikan niat qasar sepanjang solat 2 rokaat yang dilakukan.

(Sekiranya seseorang itu dengan sengaja berniat tidak melakukan qasar atau berniat untuk bermukim atau pun syak pada niat sama ada niat qasar atau tidak, maka ketika ini solat yang dilakukan mestilah disempurnakan 4 rokaat.)

KESEBELAS
Tidak mengikut imam yang solat sempurna 4 rokaat.

(Harus diingatkan bahawa solat qasar secara berjemaah mesti diimamkan oleh orang yang solat qasar juga. Sekiranya imam tersebut melakukan solat 4 rokaat maka solat makmum tersebut (qasar) tidak sah walaupun ikutan tersebut pada rukun solat yang terakhir seperti tasyahhud dan salam. Tetapi orang yang solat sempurna 4 rokaat harus diimamkan oleh imam yang solat qasar.)

****** 

(perkongsian ilmu dalam halaqah) 

Akhir sekali saya mengharapkan semoga perkongsian ini dapat memberikan manfaat kepada pembaca sekalian. InsyaAllah pada masa yang akan datang, saya ingin berbincang tentang beberapa masalah berkaitan solat qasar yang sering ditanya oleh kawan-kawan. 

Semoga dengan perbahasan yang ringkas ini mampu membantu kawan-kawan untuk terus memperjuangkan gerakan Islam di muka bumi Allah ini. InsyaAllah

p/s: semoga mendapat ‘ibrah serta sedikit daripada ilmu yang dikongsikan daripada sahabat saya shahrizan
http://shahrizanhazime.blogspot.com/2010/02/musafir-dan-solat-qasar.html
About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,797 other followers

%d bloggers like this: