Menghormati Agama Lain, Boleh Ucap Happy Deepavali???

سم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين , أما بعد

Assalamualaikum…

Segala pujian bagi Allah, Tuhan kepada segala makhluk di muka bumi ini. Selawat dan salam buat kekasihku junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul.

Dewasa ini ramai yang tertanya-tanya berkenaan orang Islam boleh ucap selamat hari Deepavali ataupun tidak. Memandangkan negara kita negara majmuk, maka masalah ini timbul kerana ada yang berpendapat bagi menjaga hati kawan-kawan non-muslim. Oleh itu, kita imbau sedikit mengenai sejarah Deepavali.

Hari Deepavali jatuh pada bulan ketujuh dalam kelender Hindu, biasanya pada bulan Oktober atau November. Oleh kerana namanya Pesta Cahaya, ia disambut dengan cahaya dan lampu oleh penganut Hindu. Asal usul perayaan ini adalah berkaitan dengan pertembungan antara Dewa Rama dengan Ravana, dimana kemenangan berpihak pada Dewa Rama, yang akhirnya berjaya merampas Sita dari Ravana yang jahat.

Selain itu terdapat juga pelbagai cerita lain yang berkaitan dengan perayaan ini, seperti pergaduhan antara Dewa Krishna dengan Syaitan Asura- yang dimenangi oleh pihak baik lantas dirayakan dengan pelita dan lampu-lampu.
[http://sklaloh.kelantan.edu.my/perayaan.htm]
Penganut Hindu menyambut Deepavali kerana banyak sebab dan paling utama mengikut kepercayaan mereka ialah bagi memperingati kemenangan Dewa Krishna menentang Nargasura, yang merupakan kejayaan kebaikan mengalahkan kejahatan.
[http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news_lite.php?id=364463]
Oleh itu adalah sangat dilarang umat Islam daripada menyambut perayaan agama selain Islam kerana boleh membawa kepada syirik.
“Janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar.”
(Luqman, 31: 13)

Melihat Dengan Kacamata Lain Dan Keperluan Semasa Gerakan Islam

Sebenarnya hubungan antara muslim dengan bukan muslim ialah di atas dasar ta’aruf (perkenalan); ta’awon (tolong-menolong), birr (kebaikan), dan adil;  Dalil: al Hujurat:13; Mumtahinah:8. Islam juga menggalakkan kita berhubung di atas dasar musalamah ( perdamaian); mu’asyarah (pergaulan mesra); mu’amalah bil husna (bermasyarakat secara baik); tabadulul maslahah (win-win relationship); dan ta’awon (bekerjasama di atas kebaikan). (Ruj: Sayyid Sabiq: Fiqh Sunnah, Vol2)Nabi Muhammad S.A.W juga pernah berhubung dan berkomunikasi dengan golongan bukan Islam.

Sirah telah melakarkan bahawa baginda pernah meminta bantuan militeri terhadap bukan Islam, pernah memberi kepada bukan Islam harta rampasan perang (ghanimah), pernah berperang bersama dengan orang bukan Islam (Safwan Umaiyah dalam perang Hunain), baginda bertukar-tukar hadiah dengan bukan Islam, Rasulullah memenuhi undangan bukan Islam, pernah berkahwin dengan perempuan mereka (kaum Qibti) dan Rasulullah S.A.W juga bangun menghormati jenazah bukan Islam (ruj: Qardhawi: halal dan haram).

Berdasarkan perkara di atas, marilah kita cuba memperhalusi isu ini mengikut keperluan semasa dakwah dan juga politik Islam kita. Hari ini kita semua hidup dalam suasana masyarakat yang terlalu majmuk dengan adanya orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, Murut, Kedayan, Sakai, Serani dan sebagainya yang tidak mahu saya tuliskan semuanya di sini. Dan, mereka ini juga menganuti dan mengamalkan ajaran masing-masing yang banyak antaranya adalah bertentangan dengan Islam itu sendiri.

Lantas, sebagai sebuah gerakan Islam yang dinamik dan berkomitmen tinggi dalam meninggikan syariat Allah di muka bumi ini, kita haruslah lebih bijak dalam menangani perhubungan dan persefahaman antara kaum yang ada di negara ini.

 

dibazar persatuan

Kepimpinan Kita Perlu Menunjukkan Sifat Toleransi

Kedudukan hukum akan berubah apabila melibatkan pemimpin negara dan juga pemimpin masyarakat. Bagaimana mungkin apabila tiba musim perayaan bagi orang Islam, maka cuti dan juga pelbagai acara diatur bagi memeriah dan menghidupkannnya. Sedangkan apabila tiba musim perayaan agama dan kaum lain, mereka dibiarkan begitu sahaja. Sudah pasti akan timbul fitnah dan rasa kurang senang (baca: tidak puas hati) kepada kerajaan yang memerintah. Bukanlah maksudnya kerajaan Islam perlu mengadakan perayaan yang bersifat besar seperti perayaan kita, tetapi tadbirlah ia dengan seadil dan selayaknya.

Apabila ada unsur kejiranan, umpamanya teman sepejabat yang mengadakan rumah terbuka dan menjemput kita, maka haruslah kita juga melihatnya sebagai suatu peluang untuk mendekati mereka dan seterusnya menyampaikan dakwah kepada keluarga mereka. Fitnah akan timbul jika si muslim tidak mengunjungi jirannya sempena hari perayaan mereka. Ini semua perlu diambil kira apabila ia masuk bab maslahat dan menolak mudharat.

Syarat mengunjungi perayaan rumah terbuka ini ialah kita kena menjaga hati supaya tidak redha dengan kekufuran agama mereka. Jadi hukum umat Islam mengunjungi perayaan tidaklah sama untuk semua orang dan untuk semua perayaan; ia berubah mengikut jenis perayaan itu.

Dalam surah An Nisaa ayat ke-36 dijelaskan maksudnya:

“Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apapun. Dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh….”.

Maksud tetangga yang dekat iaitu tempat tinggalnya berdekatan ataupun tetangga yang masih ada hubungan kerabat atau nasab ataupun sama-sama beragama Islam. Sedangkan tetangga jauh maksudnya adalah tetangga yang tidak mempunyai hubungan kerabat, jauh tempatnya atau berlainan nasab mahupun agama. Jadi dengan tegas Allah menyuruh kita menghormati tetangga baik sesama muslim mahupun yang bukan muslim (kafir).

Dalam hadis yang diriwayatkan Al Bazza sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:

“Tetangga itu ada tiga macam. Tetangga yang mempunyai satu hak iaitu tetangga yang terdekat haknya. Tetangga yang mempunyai dua hak dan tetangga yang mempunyai tiga hak iaitu tetangga yang paling utama haknya. Tetangga yang mempunyai satu hak adalah tetangga musyrik yang bukan kerabatnya. Ia hanya mempunyai hak sebagai tetangga. Tetangga yang mempunyai dua hak adalah tetangga muslim iaitu yang mempunyai hak sebagai orang Islam dan hak sebagai tetangga. Sedangkan yang mempunyai tiga hak adalah tetangga muslim yang masih ada hubungan keluarga, dia mempunyai hak sebagai tetangga, hak sebagai orang Islam dan hak sebagai keluarga”.

Menurut Imam Al Qurthubi;

“Berbuat baik kepada tetangga adalah perkara yang diperintahkan dan dianjurkan, baik terhadap orang muslim ataupun kafir. Berbuat baik itu ertinya memberikan pertolongan, bergaul dengan baik, membelanya jika ada gangguan dan ancaman”.

Bahkan dalam hadis Rasulullah juga ditegaskan tidak beriman seseorang itu jika ia mengganggu tetangganya. Begitu indah ajaran Islam dalam menjalinkan hubungan antara sesama manusia di dunia ini. Tidak kiralah apakah mereka tergolong orang-orang muslim ataupun orang-orang kafir. Begitu jelas bahawa ajaran Islam menghormati dan menghargai setiap insan, maka tidak benar anggapan yang mengatakan bahawa Islam tidak menghormati hak orang yang bukan Islam.

Sesungguhnya umat Islam dibolehkan untuk bekerjasama dan bergaul dengan umat agama lain dalam masalah-masalah yang berhubungan dengan masalah keduniaan.

(Sila rujuk surah Al Hujarat ayat 13, Surah Luqman ayat 15 dan surah al-Mumtahanah, ayat 8 )

 

Bagaimana dengan ucapan sempena perayaan mereka?

Dr. Abdul Hayei bin Abdul Sukor menyebut bahawa;

mengucap tahniah kepada kaum bukan Islam sempena hari-hari kebesaran agama mereka seperti hari Krismas, Deepavali, Thaipusam dan sebagainya, termasuk antara masalah furu’ (cabang) dalam akidah Islam yang diperselisihkan antara ulama pada zaman ini. Perselisihan pendapat antara ulama mengenai hukum itu, pada hemat saya berpunca daripada tasawwur yang kurang jelas terhadap maksud ucapan selamat hari-hari kebesaran kaum Islam yang dikemukakan itu. Jika maksud pengucapan itu adalah ikut serta berhari raya, merelai kekufuran kaum bukan Islam dan berkasih sayang dengan mereka atas nama agama, maka sememangnya haram dan sama sekali tidak boleh dilakukan.

bergambar bersama ahli Persatuan Hindu UPM (PHUPM)

Namun, sebenarnya, jika maksud ucapan selamat hari-hari kebesaran kaum bukan Islam itu tidak lebih daripada hanya ikut bercuti pada hari itu, dan juga dengan niat untuk membalas ucapan selamat Hari Raya yang diucapkan terdahulu, atau hanya memperlihatkan rasa senang dan gembira hati dengan berkongsi kegembiraan mereka berhari raya, maka beliau berpendapat pengucapan seumpama ini tidak termasuk dalam hal-hal akidah yang sekali gus menunjukkan rela hati terhadap agama dan kepercayaan mereka.

Khusus bagi kaum kafir yang tidak memusuhi Islam, telah disebutkan dalam perenggan yang sebelumnya yang mana Allah S.W.T berfirman dalam surah al-Mumtahanah, ayat 8 iaitu Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu.

Kita juga perlu mengambil kira hubungan kemanusiaan dalam isu ini, seperti mana bidang-bidang kemanusiaan lain, kita tidak dilarang mengadakan hubungan baik dengan bukan Islam. Hubungan yang langsung terputus dengan sendirinya tidak memberi laluan kepada pendakwah untuk menyatakan kebaikan Islam kepada mereka, sedangkan agama ini adalah agama dakwah, agama damai dan selamat. Perang hanya berlaku apabila dakwah ditolak, jalan-jalan damai tidak wujud lagi kepada pendakwah tegas Dr. Abdul Hayei.

Perbuatan seperti memasang lampu warna-warni di keliling rumah, menghias rumah dengan pokok Krismas, menyertai perarakan Hari Deepavali dan lain-lain adalah jelas keharamannya kerana amalan ini ada hubungan terus dengan akidah. Akan tetapi, jika mereka dengan sudi telah menghulurkan makanan pada hari itu dan kita terimanya dengan baik hati, serta mengucapkan terima kasih kerana hadiah yang diberi mereka, maka tidak ada sebab untuk kita menolaknya kerana mereka mungkin akan terasa hati dan fitnah akan timbul ke atas kita iaitu tidak meraikan perpaduan nasional dan juga bersifat toleransi.

 

Pandangan Ulama Terkemuka Yang Lain

Dr. Yusuf al-Qaradawi pula berpendapat: Jika kaum bukan Islam memulakan ucapan selamat Hari Raya mereka kepada kita, maka kita juga harus membalas ucapan yang serupa kepada mereka, kerana ini tidak lebih daripada hanya mewujudkan rasa simpati antara satu sama lain. Ia tidak bermakna bahawa kita telah merelakan agama dan kepercayaan terhadap Isa Maryam sebagai Tuhan dan lain-lain pemujaan.
Al-Qaradawi memberi beberapa alasan, antaranya: Islam tidak melarang kita berbuat baik terhadap ahli kitab yang tidak bermusuh dengan kita. Kita harus berbuat baik kepada mereka, sebagaimana mereka berbuat baik kepada kita. Ayat 8 dalam surah al-Mumtahanah yang dikemukakan terdahulu dijadikan hujah.

Menurut al-Qaradawi lagi, bidang-bidang kerjasama antara Islam dan bukan Islam seperti bidang teknikal, ketukangan dan lain-lain masih terbuka. Bahkan Nabi s.a.w. pernah menggunakan kepakaran seorang Yahudi bernama Abdullah Ibn Urayqit sebagai penunjuk jalan ketika baginda berhijrah ke Madinah.

Peranan Abdullah ini sangat besar, ada kemungkinan jika dia berniat jahat pada ketika itu, kesannya boleh menggagalkan strategi hijrah atau jika dia mengambil kesempatan menipu, maka sudah pasti kesannya sangat buruk kepada Islam dan dakwah, namun baginda tetap menggunakan juga khidmat kepakaran Yahudi yang bukan Islam itu.

Sebagai kesimpulan, Dr. Yusuf al-Qaradawi berpendapat harus bagi kita mengucapkan tahniah dan selamat Hari Raya seperti hari Krismas kepada kaum bukan Islam pada hari-hari kebesaran mereka, kerana Islam tidak menutup hubungan antara dua kaum yang berlainan agama dan kepercayaan ini.

Kesimpulan

Dewasa ini kita duduk dalam masyarakat majmuk dal pelbagai agama. Islam tidak memusuhi agama lain melainkan agama lain memusihi Islam. Oleh itu bagi menghormati agama lain daan menjaga hati kawan-kawan dari agama lain ini,

“Haruslah bagi kita mengucapkan tahniah dan selamat Hari Raya seperti hari Krismas kepada kaum bukan Islam pada hari-hari kebesaran mereka, kerana Islam tidak menutup hubungan antara dua kaum yang berlainan agama dan kepercayaan ini .”- Dr. Yusuf al-Qaradawi -

Susunan semula oleh:

MUHAMMAD HAZIM BIN MOHD NOH

Presiden,

Persatuan Mahsiswa Islam Universiti Putra Malaysia ( PMIUPM)

Bertarikh: 27 Zulkaedah 1432 H bersamaan 25 Oktober 2011

Sumber:

1. Ustaz Nasaruddin Tantawi

2. Ustaz Khairul Faizi Ahmad Kamil

3. Dr Maza

4. Ustaz Yusof Embong

About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 3,798 other followers

%d bloggers like this: