Mengucapkan Selamat Kepada Orang Bukan Islam Pada Hari Perayaan Mereka: Timbalan Presiden PMIUPM

Orang Islam diperintahkan berurusan dengan adil lagi lemah lembut dengan tetangga bukan Islamnya. Orang Islam boleh mengucapkan selamat kepada orang bukan Islam kerana hari perayaan mereka dan perbuatan ini menjadi lebih wajib jika orang bukan Islam itu mengucapkan selamat pada hari perayaan Islam. Allah subahanahu wata’ala brfirman:

Dan apabila kamu diberi penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti member salam), maka balaslah penghormatan itu dengan cara yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama)”…- An-nisa’ 4:86

Sesungguhnya, antara orang Islam dengan bukan orang Islam, ada hubungan padu yang sangat erat dan ditentukan serta dianggap perlu menurut cara dan tindak tanduk kehidupan sendiri, seperti hubungan sebagai jiran tetangga, persahabatan di tempat kerja atau di tempat belajar.

Selain itu juga, ada juga dikalangan orang Islam yang mungkin merasa dia sebenarnya berhutang budi kepada orang bukan Islam dalam keadaan yang tertentu seperti terhutang budi terhadap pertolongan yang telah diberikan dan sebagainya. Seorang Arab yang terkenal berkata bahawa kita terbelenggu oleh pertolongan orang lain.

Oleh yang demikian bagaimanakah kedudukan orang Islam terhadap orang bukan Islam yang seperti itu, yang sebenarnya sedikit pun tidak memusuhi orang Islam, tidak menentang mereka disebabkan oleh agama mereka dan tidak pula secara aktif mengusir orang Islam dari rumah dan tempat tinggal mereka?

Kitab Suci al-Quran menerangkan mengenai  bagaimana hubungan antara orang Islam dengan bukan Islam dijalankan dalam surah al-Mumtahanah, yang pada dasarnya diturunkan dan ditujukan kepada golongan kafir musyrik. Allah subhanahu wata’ala berfirman:

Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu menjadikan teman rapat orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang yang zalim”…–surah al-Mumtahanah 60:8-9.

Ayat di atas menetapkan bahawa ada perbezaan yang jelas diantara orang yang memerangi orang Islam dan memperlakukannya sebagai musuh dengan orang yang berinteraksi dan berurusan dengan orang Islam secara damai. Kita diperintah memperlakukan golongan yang kedua ini dengan baik dan dengan cara yang adil serta saksama.

Mengenai kumpulan yang satu lagi pula, ayat di atas jelas melarang berlaku taat setia serta memberi sokongan kepada mereka yakni golongan yang memilih menjadi musuh Islam dan Muslimin dan secara giat berusaha mengusir orang Islam dari kampung halaman dan tanah air mereka kerana tiada sebab lain melainkan orang Islam itu menyatakan bahawa tiada tuhan yang lain selain Allah, sebagaimana yang dilakukan oleh orang Quraisy dan kaum kafir Mekah kepada Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabatnya.

Rasulullah s.a.w. menasihati kita agar berurusan dengan orang bukan Islam dengan cara yang lemah lembut, bukan menggunakan cara yang keras dan mengancam. Sekumpulan orang Yahudi diriwayatkan mendatangi Rasulullah s.a.w. dengan ucapan yang sengaja dirosakkan lalu mengucapkan ‘Assam ‘alaikum, O Muhammad!’ (ertinya ‘mudah-mudahan maut dan kemusnahan menimpamu’), bukannya Assalammu ‘alaikum’, Aisyah r.a., yang mendengar ucapan mereka menjawab, ‘Assamu alaikum juga dan laknat serta kemurkaan Allah kepadamu!’ Aisyah serta merta ditegur oleh Rasulullah s.a.w. kerana kata-katanya itu. Aisyah memberitahu baginda, ‘Tidakkah tuan dengar apa kata mereka?’ Jawab baginda, ‘Aku dengar dan aku balas dengan mengatakan, “Dan kepada kamu” (yakni bahawa maut akan menimpa kamu juga seperti aku akn ditimpanya). Baginda seterusnya berkata, ‘Wahai Aisyah! Allah suka akan sifat lemah-lembut dalam semua perkara.’ –Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim.

Sesungguhnya mengucapkan selamat kepada orang bukan Islam pada hari perayaan mereka merupakan lebih daripada kewajiban jika mereka mengucapkan selamat pada hari perayaan Islam, kerana kita diperintahkan membalas perlakuan baik dengan perlakuan yang serupa dan membalas ucapan selamat dengan dengan ucapan yang lebih baik ataupun sekurang-kurangnya dengan ucapan yang sama baiknya. Allah yang Maha Kuasa berfirman:

” Dan apabila kamu diberi penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan cara yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama)”…-surah An-Nissa’ 4:86

Orang Islam dilarang bersifat kasar atau kurang sopan kepada sesiapa pun kerana Rasulullah s.a.w. bersabda dalam hadis yang lain, ‘Orang mukmin yang paling sempurna dari sudut imannya ialah orang yang memiliki tingkah laku yang sangat baik.’ –Diriwayatkan oleh Ahmad, at-Thirmidhi, Ad-Darmi dan abu Dawud. Dan baginda juga bersabda,

Sesungguhnya aku tidaklah diutuskan melainkan untuk menyempurnakan tingkah laku yang paling mulia.’ –Diriwayatkan oleh Ahmad, Al-Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrad dan Al-Bazzar dalam Kashful Astar.

Perkara ini menjadi lebih penting jika kita berminat mengajak orang bukan Islam ini  kepada Islam dan perkara itu tidak akan tercapai jika kita memperlakukan mereka dengan kasar, keras dan kejam, melainkan dengan kelakuan yang baik dan akhlak yang mulia. Rasulullah s.a.w. berurusan dengan orang kafir Quarisy dengan cara dan tingkah laku yang paling baik sepanjang hidupnya di Mekah meskipun mereka memusuhi, membenci, menindas dan menghina baginda dan para sahabat secara melampau.

Sesetengah ulama’ seperti Ibn Taymiyyah dan muridnya, iaitu ulama besar Ibn al-Qayyim, menggunakan peraturan yang keras tentang boleh diterimanya perkara ini serta penyertaan orang Islam dalam perayaan bukan Islam. Kami juga menerima pendirian yang sama dengan menasihati orang Islam jangan merayakan perayaan orang bukan Islam, baik orang musyrik ataupun Ahlul Kitab, sebab kami dapati ada orang islam yang jahil merayakan Krismas sebagaimana yang biasanya mereka merayakan Aidilfitri dan Aidiladha dan mungkin malahan lebih daripada itu. Perkara ini haram, kerana kita orang Islam mempunyai perayaan kita sendiri yang unik.

Tidak ada masalahnya mengucapkan selamat kepada orang lain pada hari perayaan mereka jika dirasakan ada sedikit ikatan perhubungan atau persahabatan yang dirasakan positif dalam interaksi sosial, dan berbalas-balas ucapan selamat itu merupakan perkara penting dan dituntut dalam Syariah Islam kita yang mulia ini.

Mengenai perayaan patriotik dan perayaan kebangsaan seperti Hari Merdeka, Hari Kanak-kanak dan sebagainya, tidak ada tegahan apa-apa kepada orang Islam untuk mengucapkan selamat kepada orang lain mengenai perkara-perkara tadi, dan sesungguhnya orang Islam boleh pula turut serta dalam perayaan-perayaan itu sebagai warganegara negara tersebut di samping menjaga tatatertib dan kawalan Islam dalam semua hal.

 

Mohd Syakirin Bin Md Zahar

Timbalan Presiden ,

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia (PMIUPM)

 

Rujukan:  Buku fatwa menuju kehidupan moden,

Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: