Perutusan Presiden PMIUPM Sempena Peperiksaan Akhir Semester 2011

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT atas kurniaan nikmat iman dan Islam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera. SALAM IMTIHAN kepada semua Mahasiswa Mahasiswi UPM sempena peperiksaan akhir semester II sesi 2010/2011 yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Sedar atau tidak kita sudah berada di penghujung semester 2011. Rasa terlalu singkat tempoh yang kita lalui sebagai seorang Mahasiswa Universiti sepanjang semester kedua sesi pengajian 2010/2011. Sama-sama kita bermuhasabah diri kembali adakah kita benar-benar telah menggunakan masa yang telah diamanahkan oleh Allah kepada kita dengan sebaik mungkin dan sejauh mana kita telah  mengoptimumkan masa yang ada dalam menimba ilmu pengetahuan dalam erti kata proses menuntut ilmu Allah yang Maha luas ini.

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menepati kesabaran” (Surah Al-Asr:1-3)

Bekalan peperiksaan akhir

Seperti kebiasaan, minggu ulangkaji (study week) merupakan minggu persiapan dalam menghadapi peperiksaan akhir. Sebagai peringatan kita bersama, dalam kesibukan kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapat kecemerlangan, jangan dilupa hubungan kita pada Allah. Sentiasalah berdoa dan bertaqarrub (berserah diri) pada Allah. Perbanyakkan solat hajat dan tahajud, untuk kekuatan ruhiyyah selaku hamba Allah. Lakukan juga perkara-perkara atau amalan yang boleh membantu seperti kekuatan fizikal, mental dan spiritual ke arah kejayaan.

Sebelum kaki melangkah ke dewan peperiksaan, mohonlah restu daripada Allah SWT, kedua ibu bapa, pensyarah-pensyarah serta sahabat-sahabat sepengajian. Moga dimaafkan segala kesalahan kita dan dihalalkan apa yang diajar agar beroleh ketenangan yang diharapkan ketika melangkah masuk ke dewan peperiksaan nanti. Jadikanlah segala nasihat serta semangat dan dorongan yang diberikan kepada kita sebagai pencetus dalam membina keyakinan diri untuk melakukan yang terbaik dalam peperiksaan ini.

Perbetulkan Niat

Sahabat dan sahabiah yang dirahmati Allah sekalian, sama-sama kita perbetulkan kembali niat dalam menuntut ilmu. Perjalanan kehidupan kita dalam pencarian ilmu bukan sekadar bermatlamatkan untuk memperoleh segulung ijazah, kerja yang bergaji besar dan mengejar pangkat yang tinggi. Malah ada sesetengah yang berpendapat bahawa proses pembelajaran tamat setelah berjaya menggenggam segulung ijazah. Hakikatnya, niat menuntut ilmu tidak lain tidak bukan adalah untuk mencari Redha dan Rahmat Allah SWT.

Berbekalkan kekuatan dan keazaman kejayaan Nabi Muhammad SAW dalam menyebarkan Islam seluruh pelusuk dunia, perlunya kita meletakkan bahawa usaha untuk berjaya dalam peperiksaan akhir ini juga merupakan jalan dakwah kita. Ilmu pengetahuan sangat penting dalam kehidupan lebih-lebih lagi kita selaku Mahasiswa Islam. Jelasnya dalam pandangan Islam sendiri, sangat mengangkat darjat orang yang berilmu dan sentiasa berusaha menuntut ilmu Allah yang sangat luas. Berusahalah bersungguh-sungguh dalam mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan agar kita tidak menjadikan peperiksaan sebagai fitnah dalam perjuangan Islam.

Selamat Menduduki Peperiksaan Akhir

Justeru, di kesempatan yang masih ada ini, saya dan juga saff kepimpinan PMIUPM ingin megucapkan selamat maju jaya kepada seluruh warga UPM dalam mengahadapi peperiksaan akhir bermula 25 April 2011 ini. Tingkatkan momentum usaha kita di samping pergantungan kepada Allah SWT. Panjatkanlah doa kepada Allah SWT agar dipermudahkan segala urusan semasa dan selepas menjawab soalan-soalan yang akan dihadapi nanti. Akhir kalam, Ma`at taufiq wannajah fil imtihan.

“Barangsiapa yang inginkan dunia maka dia perlu berilmu, barangsiapa yang inginkan akhirat maka dia perlu berilmu dan barangsiapa yang inginkan kedua-duanya maka hendaklah dia perlu berilmu.”

“Daie Mutarabbi Memimpin Ummah”

Muhammad Hazim Bin Mohd Noh
Presiden PMIUPM
Sesi 2010/2011

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: