Nabi Sulaiman, Nabi Ayub dan Nabi Yusuf sebagai Bandingan

Tersebut dalam hadis, bahawa ada empat golongan yang bakal diseru dan disoal oleh Allah s.w.t di akhirat kelak. Empat golongan itu akan dibandingkan oleh Allah s.w.t dengan empat golongan yang lain pula. Perbandingan itu dilakukan oleh Allah s.w.t bagi menyangkal segala dalih dan alasan yang dibuat oleh empat jenis manusia itu.

Mula-mula Allah s.w.t memanggil golongan hartawan ataupun tokoh-tokoh yang sekarang dikenali sebagai golongan korporat yang menguasai kekayaan negara, serta golongan berpengaruh disebabkan pangkat dan kedudukan mereka ataupun kuasa sebagai pemerintah dalam sebuah kerajaan, sehingga kerananya mereka sangat dikenali dan disanjung serta disegani oleh masyarakat ramai. Allah s.w.t mengemukakan satu soalan kepada mereka, “Wahai golongan hartawan dan golongan yang memiliki kekuasaan, apakah yang memasghulkan (menghalang) engkau daripada beribadah kepada Allah?”

Dalam suasana kesenangan disebabkan kekayaan yang melimpah ruah, serta kekuasaan yang dimiliki namun mereka masih juga tidak melaksanakan ibadah, sebaliknya mencuaikan solat fardhu dan kadang-kadang tertinggal terus. Sepatutnya kesenangan dan kemewahan itu membantunya beribadah, kerana segala kemudahan untuk mengerjakan ibadah dapat diadakan dengan duit ringgit serta pengaruh kedudukan yang mereka miliki itu. Namun keadaan sudah menjadi sebaliknya.

Dengan rasa amat berat golongan tersebut terpaksa juga menjawab soalan yang dikemukakan kepada mereka, “Wahai Tuhanku, sesungguhnya Engkau telah mengurniakan kekayaan dan kekuasaan kepadaku, tanggungjawab itu terlalu besar dan berat menyebabkan aku sibuk dengannya. Beban itu mendatangkan masalah bagiku kerana ia mengganggu aku untuk berbakti dan beribadah kepada-Mu.” Demikianlah manusia itu berdalih.

Allah s.w.t bertanya lagi kepada mereka, “Jika kekuasaan dan kekayaan yang engkau miliki telah mengganggu engkau untuk beribadah kepada-Ku, manakah lebih besar kekuasaan yang engkau miliki dengan kekuasaan yang ada pada Nabi Sulaiman?”

Pertanyaan Allah s.w.t itu menjadi suatu tamparan hebat kepada golongan itu, kerana mereka tahu bahawa kerajaan Nabi Sulaiman adalah sebesar-besar kekuasaan memerintah yang telah Allah kurniakan kepada manusia. Tidak akan ada kerajaan yang sebanding dengan kerajaan dan kekuasaan yang dimiliki oleh Nabi Sulaiman selepas itu. Ini kerana Nabi Sulaiman bukan sahaja memerintah manusia tetapi juga segala jenis haiwan yang melata, kerana baginda memahami bahasa haiwan yang kerap berdialog dengannya. Luasnya takluk rantau kekuasaannya sehingga udara yang bergerak di ruang angkasa. Kesemuanya berada di bawah pemerintahan Nabi Sulaiman. Angin berhembus menurut arah yang diperintahkan oleh Nabi Sulaiman, ataupun berhenti berhembus jika Nabi Sulaiman menghendaki demikian.

Golongan hartawan dan juga mereka yang berkuasa terpaksa mengaku, “Bahawa kerajaan Nabi Sulaiman lebih besar daripada kerajaanku.” Kemudian Allah s.w.t menempelak golongan tersebut, “Jika Nabi Sulaiman yang begitu besar kerajaannya dan sangat sibuk dengan berbagai-bagai tugas dan tanggungjawab, namun segala tugas dan tanggungjawab yang begitu besar itu tidak pernah mengganggunya daripada beribadah kepada-Ku. Mengapa engkau yang dikurniakan sedikit kekuasaan dan juga kekayaan lupa beribadah kepada-Ku?”

Terbukti sudah segala dalih dan alasan golongan orang yang memiliki kuasa dan juga kekayaan yang tidak seberapa itu, tidak dapat diterima oleh Allah s.w.t. Apa yang sebenarnya berlaku ialah sikap manusia golongan itu yang lupa kepada kurniaan Allah. Mereka tidak bersyukur dan tidak beribadah kerana dilalaikan oleh harta benda dan pengaruh pangkat yang mereka miliki. Mereka lupa bahawa segala kurniaan Allah s.w.t berupa kekuasaan dan kekayaan adalah amanah-Nya semata-mata.

Segala sesi soal-jawab dengan golongan hartawan dan orang yang memiliki kekuasaan sebagai pemegang kerajaan sesuatu negara, Allah s.w.t bertanya pula kepada malaikat-Nya, “Dimanakah manusia-manusia yang telah ditimpakan bala?” Kemudian para malaikat mengiringi orang-orang yang ditimpakan bala datang menghadap Allah dengan berbagai-bagai cara.

Sesungguhnya bala yang ditimpakan kepada manusia itu berbagai-bagai jenis dan cara, ada yang ditimpakan bala kehilangan harta benda disebabkan bencana yang diturunkan oleh Allah s.w.t seperti taufan atau gempa, ada yang ditimpakan bala dengan pelbagai penyakit yang luar biasa sehingga mereka terlantar tidak dapat bergerak dan berbagai-bagai lagi. Kemudian Allah s.w.t bertanya kepada mereka, “Apakah bala petaka yang menimpa mereka sehingga mereka lupa mengerjakan ibadah kepada Allah s.w.t?” Lalu orang itu menjawab, “Wahai Tuhanku, bukankah Engkau yang telah menimpakan berbagai-bagai jenis bala kepadaku yang ‘afaat (kemusnahan) dan juga ‘ahaad(kecacatan). Maka dengan bala yang menimpa diriku itulah yang menyebabkan aku tidak dapat beribadah kepada-Mu, wahai Tuhanku.”

Kemudian Allah s.w.t bertanya lagi, “Setakat manakah bala yang menimpamu jika dibandingkan dengan bala yang menimpa Nabi Ayub a.s?”

Kisah Nabi Ayub a.s yang diuji oleh Allah s.w.t dengan penyakit, seperti penyakit kusta. Sehingga ada kitab yang menceritakannya secara berlebihan, seperti kitab ‘Qishashul Anbiya’ dalam bahasa Melayu yang kurang diketahui identiti penulisnya. Gaya penulisannya yang keterlaluan tanpa sandaran nas yang sahih, hingga boleh menimbulkan salah anggap dan boleh menjatuhkan martabat Nabi Allah itu.

Memang Nabi Ayub telah diuji oleh Allah s.w.t dengan penyakit. Walau bagaimanapun, seorang nabi mempunyai peranan untuk mengajar dan memimpin manusia. Sekiranya seorang Nabi Allah telah digambarkan dengan gaya penulisan yang keterlaluan sehingga tidak layak bagi seorang nabi dikhuatiri ia ada unsur Isra’iliat di dalamnya.

Kaum Yahudi sepanjang sejarah terkenal sebagai suatu kaum yang sangat kuat memusuhi para nabi dan rasul yang diutus oleh Allah s.w.t. Tidak dapat disangkal kemungkinan adanya campur tangan Yahudi dalam penulisan kisah nabi-nabi yang diolah secara berlebihan dan menjijikkan itu. Namun apa yang hendak disimpulkan disini, bahawa dalam keadaan Nabi Ayub a.s menerima musibah dan dibalakan dengan sakit kulit seperti penyakit kusta itu, ia tidak menghalang baginda daripada beribadah kepada Allah s.w.t. Maka alasan orang yang tidak melakukan ibadah kerana sakit adalah alasan yang tidak dapat diterima oleh Allah s.w.t.

Kemudian Allah s.w.t mengadakan sesi soal jawab dengan golongan remaja pula. Alam remaja adalah saat yang penuh cabaran, dugaan dan godaan. Alam remaja penuh dengan kejutan apabila Allah s.w.t mendatangkan suatu pengalaman baru yang tidak pernah wujud di zaman kanak-kanak. Semasa zaman kanak-kanak, mereka boleh bermain dan bergurau senda antara kanak-kanak lelaki dan perempuan. Tetapi apabila menjelang ke alam remaja, mereka dikejutkan dengan suatu perasaan yang luar biasa. Antara dua insan yang berlainan jantina itu timbul suatu keinginan baru, di mana mereka saling memerlukan antara satu sama lain. Pengalaman baru itu wujud kerana Allah s.w.t telah mengurniakan keinginan nafsu kejantinaan.

Perasaan saling memerlukan antara lelaki dan wanita itu adalah cabaran baru yang boleh membawa padah. Nafsu keinginan yang tiba-tiba muncul dalam diri mereka sebaik sahaja mereka meninggalkan alam kanak-kanak, boleh mendorong mereka bertindak di luar batas peraturan. Hanya orang yang telah diasuh dalam kehidupan muslim dan dalam ilmu syariat serta batas-batas akhlak Islam sahaja yang memiliki ketahanan untuk menghadapi cabaran dan godaan tersebut.

Walau bagaimanapun, tidak sedikit yang tewas dengan cabaran itu, hingga mereka terdorong menuruti segala tuntutan gelora remaja. Mereka hanyut dan khayal dalam keseronokan, sehingga mengabaikan kewajipan beribadah dan berbakti kepada Allah s.w.t. Mereka juga lupa tujuan asal hidup sebagai hamba Allah.

Keseronokan di alam remaja telah membuai perasaan mereka, hingga tidak terfikir lagi bahawa kesempatan menempuh alam remaja itu adalah ujian daripada Allah. Apatah lagi jika dia seorang remaja yang kacak dan tampan, serta gadis yang rupawan. Sudah tentu lebih besar ujian yang perlu dihadapi kerana mereka akan menjadi buruan orang-orang yang meminati mereka. Semakin mereka mendapat perhatian, semakin mereka dibuai perasaan, hingga akhirnya mereka lupa diri.

Di Padang Mahsyar, Allah s.w.t akan memanggil golongan remaja yang tidak melaksanakan tanggungjawab mereka terhadap Allah. Mereka ditanya; setelah mereka diberikan kesempatan menempuh alam remaja, disamping dikurniakan dengan harta kekayaan, apakah yang menyebabkan mereka tidak melakukan ibadah serta ketaatan kepada Allah?

Anak-anak muda yang asyik dengan zaman remaja ini terpaksa menjawab pertanyaan Allah s.w.t dengan berterus terang; bahawa alam remaja yang ditempuhi itu sebagai suatu pengalaman baru yang begitu mempesonakan. Ketampanan dan kecantikan paras rupa itu membuai perasaan mereka sendiri. Akhirnya ia melalaikan mereka daripada mengingati serta melakukan ibadah kepada Allah.

Para remaja itu ditanya lagi; setakat mana ketampanan dan kecantikan yang mereka miliki itu jika dibandingkan dengan ketampanan dan kecantikan Nabi Yusuf a.s? Adakah para remaja itu lebih kacak daripada Nabi Yusuf? Sudah tentu tidak. Bahkan Nabi Yusuf lebih kacak sehingga ada pendapat ulama tafsir yang mengatakan bahawa separuh daripada kecantikan yang dikurniakan kepada manusia itu ada pada Nabi Yusuf a.s.

Lalu Allah menempelak golongan itu. Jika Nabi Yusuf lebih cantik dan kacak, sedangkan baginda taat dan beribadah kepada Allah. Tetapi mengapa para remaja itu menjadi sebaliknya?

Ketampanan Nabi Yusuf telah digambarkan dengan jelas dalam al-Quran khususnya dalam surah Yusuf. Ketampanan baginda itu mempesonakan permaisuri Raja Mesir yang bernama Zulaikha, seorang permaisuri kepada raja yang memerintahnegara besar seperti Mesir, mempunyai kedudukan yang tinggi. Dia terlupa akan kedudukannya sebagai orang yang dihormati oleh rakyat jelata, semata-mata kerana tergoda dan terpesona dengan ketampanan Nabi Yusuf yang tiada tolok bandingnya.

Permaisuri itu mempertahankan dirinya ketika menghadapi cemuhan khususnya daripada wanita-wanita Mesir, lalu memanggil wanita-wanita yang mencemuhnya itu datang ke istana. Masing-masing diberi sebilah pisau dan buah-buahan. Ketika wanita-wanita itu mengupas buah yang ada di tangan, Nabi Yusuf diperintah supaya berjalan di hadapan mereka. Para wanita itu bagaikan terkena sihir apabila melihat ketampanan dan kekacakan Nabi Yusuf yang belum pernah mereka lihat sebelum itu. Ia sangat mempesonakan dan menggoda sehingga mereka tidak sedar mereka telah terpotong tangan mereka sendiri. Akhirnya mereka tidak lagi mencemuh permaisuri Mesir itu kerana wanita mana sekalipun pasti terpikat dan terpesona dengan ketampanan Nabi Yusuf a.s.

Meskipun Allah s.w.t menganugerahkan ketampanan kepada Nabi Yusuf a.s, namun ia tidak menghalang baginda untuk berbakti dan beribadah kepada-Nya. Malah keimanannya tetap unggul ketika menghadapi godaan permaisuri Mesir yang sangat jelita itu. Oleh itu tidak ada dalih bagi remaja yang dibuai perasaan sendiri dengan kecantikan yang jauh terkebelakang dibandingkan dengan Nabi Yusuf a.s, sehingga boleh melalaikan mereka daripada beribadah dan mentaati Allah.

Sumber: FB

3 Comments

  1. kenapa sama tempat

  2. encik perantau

    mohon share artikel ini ya..jzkk

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: