GAMIS sertai HIMPUN : Presiden GAMIS

Gerakan mahasiswa Islam mewajahkan diri mereka di medan politik secara agresifnya pada era 80-an sejak berlakunya revolusi di Iran. Kejatuhan Shah Iran adalah berpunca dari gerakan rakyat yang banyak dibantu oleh kelompok mahasiswa disana. Maka Malaysia juga turut terkena tempias yang sama. Pada suasa itu GAMIS muncul di pentas nasional dalam membawa agenda dakwah dan siasah kepada masyarakat kampus khususnya.

Teras kepada gerakan GAMIS adalah bertunjangkan prinsip islah dan dakwah, mengembalikan masyarakat kepada amal syariat Islam secara menyeluruh. Persoalan utama dalam perihal agama ialah Aqidah. Aqidah merupakan tunjang kekuatan orang Islam, sejarah kemenangan Islam sejak dari zaman Nabi dan Sabahat bermula dari penjernihan Aqidah yang salim. Maka GAMIS tidak lari dari memperjuang dan mempertahankan aqidah.

Zaman agresif yang menjadi tumpuan GAMIS dalam membawa isu aqidah ialah pada era akhir 90-an dibawah presidennya, Ust Dr Zaharuddin Abd Rahman yang kini merupakan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Serangan kristianisasi di kampus menjadi tajuk utama perjuangan dalam perjuangan GAMIS setelah berlakunya kes seorang mahasiswa UPM yang dimurtadkan di sebuah gereja dalam kawasan Brickfield.

Konsep yang dibawa dalam pendekatan GAMIS ialah menerang, bukan menyerang. Maka pelbagai usaha dilakukan bagi memastikan masyarakat khususnya mahasiswa menadalami kefahaman Islam yang utuh bagi mendepani cabaran penyelewengan aqidah. Kebertanggungjawaban kepada soal aqidah adalah kontrak asas kepada penubuhan GAMIS itu sendiri. Maka apa pula pendirian GAMIS tentang HIMPUN?

GAMIS secara lantangnya menyebutkan bahawa kita akan pertahankan aqidah umat Islam pada bila-bila masa sekalipun. HIMPUN yang digerakkan oleh NGO Islam mempunyai niat yang murni bagi membawa solidariti kepada kesatuan umat Islam dibawah payung aqidah yang satu. Kebejatan gejala murtad berlaku bilamana tidak ada kesatuan diantara umat Islam dalam berhadapan isu murtad oleh kerana perbezaan ideologi yang difahami. Maka niat baik HIMPUN yang dipimpin Cikgu Azmi amat baik dan murni. Maka atas niat murni ini GAMIS menyokong HIMPUN.

Adapun mutakhir ini banyak polemik baru yang timbul apabila parti politik mengumumkan untuk tidak sertai HIMPUN merupakan suatu yang normal dan tindakan yang betul. Apa yang dilakukan oleh parti politik dilihat dari kacamata sebuah parti yang pastinya memikirkan persoalan kepentingan. GAMIS sebagai sebuah NGO harus bebas dan tidak terikat dengan mana-mana keputusan parti kerana asas kepada gerakan GAMIS ialah dakwah, dimana ada ruang, disitu kami ada.

GAMIS melihat perhimpunan orang Islam pada 22 Oktober nanti merupakan suatu program ‘caramah kefahaman’ kerana bakal diisi oleh pemidato yang pelbagai termasuk juga Dato’ Mufti Negeri Perak. GAMIS juga akan diberikan ruang untuk mewakili mahasiswa dalam menyampaikan ucapan tersebut, maka ini ruang dakwah yang besar untuk kita ambil bagi memberikan kefahaman kepada hadirin. Maka pada HIMPUN ini sebenarnya adalah program memberikan kefahaman kepada rakyat tentang bagaimana untuk kita pertahankan aqidah dengan ilmu, bukan menyerang agama lain dengan melulu. GAMIS tidak bersetuju jika HIMPUN membenarkan ahli politik bercakap dipentas berkenaan, kerana kita nak pastikan tiada kepentingan politik yang dibawa dalam perhimpunan itu.

Timbul juga persoalan bahawa HIMPUN ini mempunyai agenda yang tersendiri dan dinanungi oleh parti tertentu dalam Negara, namun ia masih belum dibuktikan secara sahnya. GAMIS berpandangan bahawa yang menghadiri HIMPUN ini bukan atas dasar menyokong siapa penggeraknya, tapi apa yang diperjuangkan. Sama juga contoh pada isu BERSIH 2.0, mereka yang hadir bukan menyokong individu bernama Dato’ Ambiga, tapi perkara yang diperjuangkan oleh BERSIH 2.0 yang menjadi tujuan utama. Antara lain bagi peminat bola sepak, penyokong The Red Warriors hadir ke majlis dan program rasmi yang dianjurkan oleh KAFA bukan kerana menyokong politik yang dibawa oleh Tan Sri Anuar Musa, tetapi menyokong pasukan bola sepak tersebut.

Kita kena fahami HIMPUN bukanlah matlamat kepada perjuangan mempertahankan aqidah, ia merupakan suatu alat dari pelbagai kaedah yang ada. Maka GAMIS juga turut menganjurkan kuliah berkaitan murtad, seminar aqidah dalam program Karnival Anak Muda 2011 pada hari sabtu dan ahad ini. Ini juga merupakan usaha penting dalam memberikan kefahaman sosial tentang keutamaan pertahan dan sebarkan aqidah kepada semua masyarakat.

Secara umumnya GAMIS membuka seluasnya ruang berfikir atas penilaian yang rasional kepada mahasiswa untuk membuat penetuan sikap. Kita menghormati kepada yang hadir, dan tidak mengeji yang sebaliknya. Persoalan pendekatan dalam dakwah ini tidak usah diperbesarkan, namun soal kesungguhan dan usaha perlu dipertanggungjawabkan kepada aqidah umat Islam. Jika banyak bermain dengan prasangka, maka hilanglah usaha. Bersatu atas kekuatan aqidah, kita selamatkan ummah.

Ahmad Syazwan b Muhammad Hasan

Presiden GAMIS

1 Comment

  1. Munafiqun

    Salam alaik,

    Baik sungguh penulisan tuan. No wonder because you are our president. Namun begitu, saya dapat rasakan ketiadaan rohaniat atau terdapat kekosongan spiritual dalam penulisan tuan. Saya tidak bermaksud mempertikaikan kerja tuan tetapi ada sesuatu yang saya mahu ‘share’. Semoga Allah merahmati tuan.

    Baiklah, dalam penulisan tuan diatas, tuan tidak spesifikkan gerak kerja yang harus dibuat setiap individu bagaimana mereka boleh mengurangkan gejala-gejala murtad. Tuan, gejala murtad itu sebenarnya adalah sesuatu yang batil. Batil itu pula adalah kegelapan. Kegelapan itu pula adalah sesuatu yang bukan hakikat atau kegelapan itu sebenarnya tidak wujud. Kita tak mampu buat gelap itu semakin gelap dan semakin samar. Tetapi kita boleh hilangkan kegelapan itu dengan membawa cahaya.

    Cahaya itu adalah amalan agama yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah SAW. Apabila cahaya datang maka gelap akan hilang. Kita tak perlu marah gelap, lempar batu kepada gelap agar gelap pergi. Tetapi jalan yang baik adalah bawa cahaya amalan agama.

    Penyelesaian kepada masalah ini adalah, saya, tuan, dan seluruh ummat harus membawa cahaya amalan Rasulullah SAW agar cahaya itu wujud di dalam diri setiap manusia. Maka usaha yang perlu dibuat hari ini adalah usaha menghidupkan amalan-amalan agama. Ini disebut sebagai dakwah.

    Dakwah itu bukanlah satu program, sebaliknya dakwah itu adalah suatu amalan Rasulullah SAW yang sangat mujarab untuk merawat ummat. Dakwah itu perlu dilakukan setiap hari dengan istiqomah dan sungguh-sunguh. Dengan dakwah yang betul, ummat akan datang kepada amalan-amalan agama, ummat akan kenal kepada Allah, Rasul, agama dan segala masalah ummat akan selesai bila amalan mereka telah menghubungkan mereka kepada Allah.

    Untuk menghubungkan diri dengan Allah harus ada ilmu di dada. Ilmu itu ada 2 kategori yang besar. Sebab itu kita harus belajar bagaimana melakukan dakwah dengan betul, bukan untuk kepentingan mana-mana pihak atau mengangkat diri sendiri sebaliknya bagaimana diri menjadi semakin baik dan diri kita mendapat redha Allah. Saya tidak bermaksud mempertikaikan keadaan tuan. Tuan berada dalam keadaan yang baik InsyaAllah.

    Tugas kita hari ini adalah menyampaikan kepentingan, dan kelebihan mengamalkan agama. Oleh itu setiap insan kita perlu beritahu dengan jelas. Selain itu, yang paling penting kita harus sampaikan ada;ah kerisauan terhadap ummat meninggalkan agama, kita harus kongsi bersama. Hari ini pendakwah tidak ada rasa sifat sayang kepada ummat. Hatta, sesama muslim pun kita cela, sedangkan muslim itu lebih mulia daripada Kaabah (mafhum hadith).

    Apabila 2 perkara ini telah ada dalam diri setiap orang ataupun pendakwah, barulah kerja boleh dilaksanakan dengan tertib-tertib yang betul. Hari ini ummat tidak ada fikir risau untuk islah diri. Mereka tidak tahu kepentingan mengamalkan agama. Mereka hanya fikir mahu tuntut itu, tuntut ini. Akhirnya islah itu tertinggal dibelakang.

    Banyak yang boleh dimuzakarahkan lagi. Jika tuan mahu jumpa saya, tuan berdoalah kepada Allah, InsyaAllah dengan niat tuan yang baik, Allah akan temukan kita. Wallahualam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: