PRK ‘Training Ground’ Mahasiswa

الحمد لله وحده صدق وعده ونصر عبده وأعز جنده و هزم الأحزاب وحده
والصلاة والسلام على النبي المصطفى المبعوث رحمة للعالمين

Alhamdulillah segala puji-pujian kepada Allah, Tuhan Pencipta Alam Semesta, kepada junjungan besar nabi Muhammad serta keluarga baginda, sahabat-sahabat dan seluruh muslimin dan muslimat.

Assalamualaikum kepada semua warga bumi hijau UPM. Selamat datang kepada ke gerbang ilmu tanpa sempadan buat pelajar-pelajar baru. Alhamdulillah, dengan rancak bemulanya semester akademik baru, maka semakin rancaklah aktiviti-aktiviti mahasiswa. Kemeriahan suasana akademik semester ini diserikan lagi dengan kitaran pemilihan barisan wakil-wakil pemimpin mahasiswa atau dipanggil Pilihan Raya Kampus. Pilihan Raya Kampus dilihat sebagai suatu medan latihan (training ground) kepimpinan terbaik. Hal ini kerana, hanya yang ikhlas berkhidmat, berdedikasi, komited dan kompeten akan sanggup bersaing bagi merealisasikan inspirasi mahasiswa.

Tidak dapat dinafikan, mahasiswa sememangnya tulang belakang dan pewaris kepimpinan Negara. Dengan kelebihan ilmu, keupayaan bermasyarakat serta kebolehan memimpin, mahasiswa pakej penuh ini merupakan hasil yang dinantikan oleh masyarakat. Gelanggang mahasiswa bukan di kampus semata-mata, kampus hanyalah taman permainan untuk mahasiswa belajar dan berlatih. Gelanggang sebenar adalah nun yang menanti selepas kita tamat bergraduasi.

Mengasah bakat kepimpinan dengan baik haruslah bermula dikampus supaya produk mahasiswa yang bakal keluar nanti merupakan mereka yang telah jenuh dibasuh kesusahan hidup sebagai mahasiswa. Janganlah hendaknya timbul kata-kata atau idea yang mengatakan, zaman kampus adalah zaman mengumpul ilmu, bukan zaman mengasah kepimpinan. Bagaimana memisahkan kepimpinan dan mahasiswa kalau Tun. Dr Mahathir terang-terang mengatakan Malaysia memerlukan mahasiswa sebagai pelapis pimpinan Negara.

Almarhum Bapak Mohammad Natsir (mantan Perdana Menteri Indonesia) pernah mengatakan,” Tidak ada percetakan yang bisa mencetak pemimpin”. Menurut Natsir lagi, pemimpin tidak lahir di bilik kuliah tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas di kancah geladangan ummah, muncul di tengah-tengah pergumulan masalah, menonjol dari kalangan rakan-rakan seangkatannya, lalu diterima dan didukung oleh umat

Pemimpin yang cemerlang tidak dilahirkan dalam tulisan kertas-kertas peperiksaan, tidak dihasilkan melalui tindakbalas bahan kimia atau bergelumang dalam sejuk beku dewan kuliah. Sebaliknya mereka berhempas-pulas mendepani konflik ummah. Pemimpin hebat pada hari ini menghabiskan sejumlah besar zaman mahasiswanya untuk menjuarai isu ummah selain turut menyeimbangkan pencapaian akademik mereka.

Sikap tidak cakna terhadap perkembangan sekeliling melahirkan mahasiswa yang hanya menurut status quo dan arus normal yang sekian lama dipertahankan meskipun ia ternyata pincang tanpa mampu menilai secara serius. Kepimpinan mahasiswa kini memerlukan kepada nilaian budaya karismatik seperti yang telah dijelaskan oleh Max Weber, ciri utama karisma ialah suka melawan tradisi. Mereka ini mempunyai kekuatan prinsip dan daya penarik luar biasa yang dapat mempengaruhi dan menyakinkan orang ramai. Golongan seperti  inilah yang biasanya sentiasa membawa sesuatu yang baru dan dirasakan baik untuk masyarakat.

Memenuhi kerusi kepimpinan mahasiswa perlulah memiliki matlamat yang jelas, tidak hanya mengejar pangkat dan nama. Peter F. Drucker mengatakan, “….the leader sees leadership as responsibility rather than as rank and privilege”. Inilah kredibiliti kepimpinan yang perlu wujud,  pemimpin perlu mempunyai matlamat perjuangan yang unggul, tahu erti dan fungsi kepimpinan serta mampu menimbang baik dan buruk secara holistik.

~ Management is doing things right, leadership is doing the right things. – Peter Drucker, and Warren Bennis

~ The leader has to be practical and a realist, yet must talk the language of the visionary and the idealist. – Eric Hoffer

“YOUR EXCELLENT PARTNER”

Disediakan oleh:

MUHAMMAD HAZIM MOHD NOH

Presiden,

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia (PMIUPM)

Bertarikh: 25 Syawal 1433H bersamaan 11 September 2012

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: